Selasa, 26 Januari 2010

SEMBAHYANG GERHANA MATAHARI


Gerhana ada dua iaitu gerhana matahari dan gerhana bulan. Gerhana matahari berlaku  apabila bulan melindungi matahari manakala gerhana bulan berlaku apabila bulan berada di dalam kawasan bayang-bayang bumi. Apabila berlaku gerhana sama ada gerhana itu sebahagian atau keseluruhan di sunatkan sembahyang bagi mereka yang bermukim, musafir, merdeka , hamba, lelaki dan perempuan.Hukum bagi sembahyang gerhana adalah sunat muakad. Justeru, tanggal 15 Januari 2010, Pejabat Agama Pangkalan Udara Kuching telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sembahyang gerhana matahari pada tarikh tersebut. Lebih kurang jam 1500 semua anggota pangkalan telah berkumpul di Surau Pangkalan untuk sama-sama mengerjakan sembahyang secara berjemaah. Majlis telah dipimpin oleh Pegawai Agama Pangkalan iaitu Kapt Mohd Mohaimin Bin Tamami.

Rabu, 6 Januari 2010

MAJLIS SAMBUTAN HARI ASYURA 1431H


Banyak Hari-hari Kebesaran dalam Islam yang perlu diketahui dan dipelajari. Kadangkala kita tahu tentang Hari Kebesaran tersebut dan tahu jalan ceritanya namun kita lupa bila tarikh Hari Kebesaran tersebut berlaku. Antara salah satu Hari Kebesaran dalam Islam yang patut kita tahu ialah Hari Asyura. Hari Asyura telah dilaksanakan pada 26 Dis 2009 bertempat di Surau Amru Al ‘Ash Batu 10 ½. Penglibatan anggota terdiri daripada penghuni – penghuni kuaters dan orang-orang kampung. Antara aktiviti yang dilakukan sempena dengan majlis tersebut adalah gotong royong membersihkan surau dan memasak bubur lambuk secara beramai-ramai.

Pada sebelah malam pula, diadakan ceramah perdana yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Mej Hj Muntaha bin Hj Saleh selaku Pegawai Staf 2 Agama dari Markas 3 Briged, Kem penrissen. Kehadiran anggota pada malam tersebut adalah seramai 150 orang bersama keluarga masing-masing. Sebelum majlis berakhir, sedikit jamuan telah disediakan dan majlis selesai lebih kurang jam 2130 malam.

LAWATAN KEBAJIKAN SEMPENA KELAHIRAN ANAK PERTAMA.


Menerima kehadiran cahayamata merupakan saat yang paling dinantikan setiap pasangan yang telah lama mendirikan rumahtangga. Justeru kehadiran cahayamata merupakan aset lengkap dalam kehidupan rumahtangga setiap pasangan suami isteri. Berbagai perasaan yang akan dialami bagi mereka yang baru pertama kali menerima kehadiran cahayamata pertama. Begitulah yang dialami oleh salah seorang anggota staf KAGAT Pejabat Agama Pangkalan Udara Kuching Iaitu 1131146 Lkpl Mohamad Sofiyuddin Bin Ayob. Beliau adalah diantara salah seorang ribuan pasangan suami isteri yang baru sahaja menerima kelahiran anak sulung pertama. Justeru itu, staf Pejabat Agama PU Kuching tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan hari bahagia tersebut bersama anggota di kediaman beliau. Seramai 10 orang tetamu telah hadir bagi menziarahi pasangan tersebut.

Semoga kehadiran bayi tersebut akan menambahkan lagi kebahagiaan yang dibina oleh anggota dan pasangannya.

TAHLIL DAN MAJLIS CUKUR JAMBUL


Satu majlis tahlil dan cukur jambul telah diadakan sekitar pertengahan bulan November 2009 yang lalu. Majlis itu telah dipimpin oleh Pegawai Agama Pangkalan iaitu Kapten Mohd Mohaimin Bin Tamami. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Yassin kemudian dituruti dengan sesi cukur jambul. Seramai 50 orang telah menghadiri majlis tersebut. Majlis cukur jambul ini berjalan dengan lancar dan kesemua bayi-bayi yang menyertai sesi cukur jambul tidak mempunyai sebarang masalah.